MAJLIS ANGKAT SUMPAH DAN PENYERAHAN WATIKAH PELANTIKAN AHLI-AHLI MAJLIS DAERAH NABAWAN BAGI TAHUN 2025–2027 [2026-08-20]


Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Nabawan bagi Tahun 2025–2027 telah berlangsung pada 20 Ogos 2026 (Khamis), bermula jam 1.30 tengah hari, bertempat di Grand Ballroom, Level 2, Hilton Kota Kinabalu. Majlis ini telah dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama, Y.B. Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin bin Mohd. Arif. Majlis turut dihadiri oleh Y.B. Datuk Abdul Ghani bin Mohamed Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.46 Nabawan merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, Tuan Marshal Anthony, Pengerusi Majlis Daerah Nabawan serta Tuan Haji Mohd. Saidi bin Mohd. Ibrahim, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Nabawan. Turut hadir ialah wakil dan Ahli-Ahli Majlis daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain, antaranya Majlis Daerah Papar, Majlis Daerah Kota Belud, Lembaga Bandaran Kudat, Majlis Daerah Ranau, Majlis Daerah Pitas dan Majlis Daerah Kota Marudu. Penglibatan PBT-PBT ini mencerminkan sokongan dan kerjasama berterusan dalam memperkukuh tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan di Negeri Sabah. Majlis ini turut mendapat kerjasama dan penglibatan daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP). Penganjuran majlis ini merupakan satu acara penting bagi menyempurnakan proses angkat sumpah dan penyerahan watikah pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Nabawan bagi tempoh 2025–2027, sekali gus menandakan permulaan pelaksanaan amanah dan tanggungjawab Ahli-Ahli Majlis dalam memastikan pembangunan serta kesejahteraan masyarakat di Daerah Nabawan.